Entry: KAU KEKASIHKU - Anis Ayuni Monday, August 20, 2007



Dhira yang baru sahaja dilukai oleh seorang lelaki menyatakan bahawa dia tidak mahu bercinta lagi. Namun, hatinya kalah dengan kenyataannya itu apabila terpaut dengan Zairi ketika melancong ke Beijing. Sejak pertemuan yang membibitkan kenangan manis, hubungan Dhira dengan Zairi semakin mesra selepas pulang dari melancong. Namun, Dhira pasrah walaupun Zairi menunjukkan sikap prihatinnya dan cemburu, lelaki itu agak sukar menyatakan cinta kepadanya.

Akhirnya, lafaz cinta keluar dari bibir Zairi dan ingin melamar Dhira menjadi suri dalam hidupnya. Namun, ada sesuatu yang menjadi persoalan dalam diri Dhira, apabila dia tidak pernah disentuh oleh suaminya sendiri selama di alam perkahwinan.

Apakah masalah yang sedang dihadapi oleh Zairi? Mengapa dia tidak mahu menyentuh Dhira sedangkan tanggungjawab lain ditunaikan? Adakah kerana Dhira yang menjadi puncanya? Akhirnya, Dhira dapat menemui jawapannya yang sering membelenggu dirinya. Antara kasihan dan kasih, perlukah Dhira mengharunginya bersama suami tercinta?


Ego. Ianya sering dikaitkan dengan lelaki. Mereka ini payah untuk mengaku kesilapan dan kekurangan diri dan kerana sikap yang satu inilah selalunya membawa kepada kemusnahan di dalam satu-satu perhubungan. Fenomena inilah yang Anis Ayuni sampaikan di dalam novel Kau Kekasihku ini. Setelah mengetahui masalah yang melanda Zairi, walaupun pada mulanya, Dhira hanya mahu beralah dan mengundur diri... tetapi kerana kasih dan sayang pada suami tercinta, Dhira tidak cepat melatah. Dia tahu setiap permasalahan pasti ada penyebabnya dan setiap sebab pasti ada jalan penyelesaiannya. Selebihnya, dia berserah pada takdir... Aku rasa, novel ini patut dibaca oleh para suami dan isteri sebagai panduan dan pengajaran agar kita tidak cepat membuat kesimpulan ke atas apa yang berlaku dan terus menghukum suami/isteri di atas kesilapan yg mereka lakukan.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments