|
Apakah benar cincin itu membawa tuah? Atau ia membendung sial di sebalik dusta yang dilakukan oleh manusia pemburu mimpi. Atau sekadar... cincin permata biru penghias jari... Bermula dengan kisah cinta antara Markum dan Junaidah. Kemudian diikuti pula dengan kisah cinta Jenal dan Zulaiha. Sebagaimana tajuk novel ini, plot cincin permata biru ini timbul ketika Jenal yang telah tewas dalam percintaannya berhasrat untuk membunuh diri di tepi lombong tinggal, di mana pada suatu ketika dulu mayat Junaidah juga dijumpai di situ. Harimau jelmaan yang mengaku diri sebagai Junaidah telah berjanji akan membantu Jenal merampas semula Zulaiha dari tangan Markum dengan memberi cincin permata biru kepada pemuda itu. Junaidah seolah-olah ingin membalas dendam terhadap Markum kerana baginya lelaki itu telah menodai cinta mereka berdua dengan mengahwini Zulaiha. Setelah memiliki cincin tersebut, Jenal jadi lupa diri. Namun begitu, bila dimulakan dengan niat yang tidak baik maka tak baik juga kesudahannya. Walaupun Jenal akhirnya meninggal dunia tetapi kisah cincin tersebut tidak mati bersama Jenal. Kisah baru pula timbul apabila Mail Buruk pula menjumpai cincin tersebut di tepi lombong tinggal di mana mayat Junaidah dan Jenal dijumpai sebelum ini. Sekali lagi 'Junaidah' memainkan peranannya. Demi menyelamatkan anak tirinya, berjayakah Mail Buruk mendapatkan 'benda' yang diminta oleh harimau jelmaan itu dari Markum? Apa pula yang terjadi ke atas cincin permata biru itu, siapa pula yang menyimpannya?
Walaupun sibuk tapi aku tetap ingin menghabiskan pembacaan novel ini secepat mungkin kerana aku tak sabar untuk mengetahui kesudahan ceritanya. Rasa puas bila aku berjaya menghabiskan pembacaanku hanya dalam masa sehari saja. Pengolahan jalan cerita yang cukup baik - ada unsur misteri, seram, kelakar dan juga kisah cinta. Lain dari yang lain. Tidak rugi untuk memiliki novel ini. |
| Leave a Comment: |